SEJARAH SEKOLAH

          Sekolah Kebangsaan Jerlun dibina dalam tahun 1348 Hijrah bersamaan Tahun Masihi 1929. Pada mulanya dikenali dengan nama Sekolah Melayu Jerlun. Sekolah Melayu Jerlun ini dibina di atas tanah Tok Nasir. 

          Bahan binaan bangunan terdiri daripada kayu gelam manakala bumbungnya pula diperbuat daripada anyaman buluh dan lantainya disulam dengan kepingan simen berbentuk empat segi bujur.

          Guru-guru yang bertugas pada masa itu adalah seramai 5 orang dengan jumlah murid seramai 160 orang. Darjah permulaan pada waktu itu dimulakan dengan darjah "0" atau "Nough"., manakala darjah tertinggi ialah darjah empat. 

          Sebuah lagi bangunan dibina dalam tahun 1355 H bagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah. Bangunan ini dibina oleh penduduk kampung. Namun pada 23 Jun 1963 bangunan tambahan ini telah runtuh dipukul ribut dan seorang murid bernama Saari bin Hamzah telah terkorban. Ekoran daripada itu, pihak berkuasa tidak membenarkan para pelajar belajar di sekolah ini memandangkan keadaan bangunan yang tidak selamat.

          Selepas itu, semua pelajar terpaksa belajar di bawah rumah orang kampung. Antaranya rumah Pak Long Yahaya, rumah Hajjah Sopiah dan rumah Ahmad bin Man.

          Pada tahun 1964, kerajaan telah membina dua buah bangunan baru yang berdinding dan berlantaikan papan. Bangunan ini dirasmikan oleh YB Encik Khir bin Johari iaitu Menteri Pelajaran pada masa itu, iaitu pada hari Jumaat 27 Mei 1966.

          Dalam tahun 1983, sebuah bangunan dua tingkat telah dibina. Di bangunan inilah terletaknya pejabat, bilik guru, pusat sumber dan sebagainya.

          Bagaimanapun pada tahun 1994, salah satu daripada bangunan itu didapati telah tidak selamat oleh pihak JKR untuk digunakan. Oleh itu bagi menampung kekurangan bilik darjah, sebuah bangunan tambahan dengan tiga bilik darjah telah dibina oleh Jabatan Pendidikan Kedah pada tahun 1995. Bangunan yang dikosongkan itu telah dirobohkan bagi membina bangunan dua tingkat. Kerja-kerja meroboh dan membina telah bermula pada 22 Oktober 1998 oleh Syarikat Nafas Abadi Holding dan disiapkan pertengahan tahun 1999.

1 comment:

  1. Saya bangga dapat mengetahui sejarah sk jerlun.saya ialah murid sk Jerlun tahun 6 hari ini

    ReplyDelete